Sari Yanti's unofficial fan blog

20070614

Rahsia kemenangan Sari Yanti

http://mstar.com.my/
24-02-2006 11:46:43 AM
Radin Sri Ghazali

Friendster... telah membawa perkenalan mStar Online bersama 'muka baru' dunia peragaan, Sari Yanti. Tidak kami menduga bahawa wajah di dalam profil Friendster itu merupakan pemenang CLEO Cover Girl Search 2005. Lantas, mStar Online terus mendapatkan wawancara eksklusif bersama peragawati kelahiran Negeri Sembilan ini yang bakal menggegarkan dunia pengiklanan Malaysia.

Ikutilah pengalamannya semasa pertandingan tersebut serta idola anak muda ini di dalam dunia peragaan Malaysia. Pasti para pembaca akan terkejut dengan rahsia kemenangan Sari Yanti!

'Pendek'... Bukan kayu ukuran

Rendah... itulah impresi pertama mStar Online ketika pertama kali bersua dengan Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Bt. Mohamad Nazari, pemenang 'Cover Girl CLEO 2005'.Gadis yang berusia 22 tahun ini telah pun dinobatkan juara pertandingan yang telah dianjurkan oleh majalah CLEO pada akhir tahun lepas.Dia telah mendapat undian SMS yang terbanyak di kalangan 10 finalis yang lain.

"Mereka sungguh lawa dan tinggi!" ujar Sari yang tidak mendugakan kemenangan tersebut."Sayalah yang 'terpendek' di kalangan kesemua 10 finalis," tambah gadis ayu setinggi 155 sentimeter (5 kaki).

Itulah dikatakan tuah badan masing-masing. Ketinggian bukan menjadi faktor yang menentukan kemenangan Sari tetapi raut wajah serta faktor fotogeniknya yang berjaya menarik minat pembaca-pembaca mengundi anak gadis ini.

Sari Yanti
Sari Yanti
Sari Yanti
Sari Yanti

Apakah kelebihan Sari jika dibandingkan dengan finalis-finalis yang lain?

"Rambut saya," katanya mengenai gambar kemenangan di muka hadapan majalah CLEO bulan Disember 2005.

Namun sayangnya, rambut yang panjang serta berikal telahpun dipotong kerana rosak. Ketika wawancara bersama mStar Online, rambut Sari tidak sepanjang seperti dahulu.

Keracunan makanan- Pengalaman 'CLEO Cover Girl'

"Saya termuntah beberapa kali ketika sesi penggambaran top ten ," kata Sari mengimbau kembali detik-detik yang telah berlaku kepadanya ketika menyertai pertandingan tersebut.

"Gara-gara makan ais kacanglah tu," katanya sambil ketawa.

Sari Yanti
Sari Yanti
Sari Yanti
Sari Yanti

"Akibatnya, saya bagaikan kaku setiap kali mengambil gambar. Nak posing pun susah kerana tidak bermaya," tambahnya lagi.

Walaupun pergerakkan Sari pada ketika itu agak terbatas, hasilnya amat berbaloi. Juara!

Pelajaran... Prioriti utamaAnak kelahiran Seremban ini kini berada dalam semester terakhir jurusan perniagaan peringkat diploma di kampus Uniten Pahang.

"Saya bakal menghabiskan diploma saya pada bulan Mac ini dan saya amat berharap dapat menyambung pelajaran saya ke peringkat ijazah kelak," kata Sari yang meletakkan pelajaran sebagai entiti yang terpenting di dalam kehidupannya.

Bagaimana pula dengan pandangan ibubapa Sari mengenai pelajaran serta aktiviti peragaannya?

"Ibubapa saya memberi galakkan maxima kepada saya untuk melibatkan diri dalam industri peragaan dengan syarat pelajaran harus diutamakan," kata 'wajah' baru Proton mengenai sokongan moral ibubapanya itu.

Kuala Pilah ke Kuala Lumpur

Berulang alik dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur setiap minggu adakalanya membawa masalah kepada Sari.

Apakan daya, pengorbanan harus dilakukan untuk memulakan kerjaya sebagai seorang peragawati dalam bidang pengiklanan.

"Terdapat banyak iklan yang saya terpaksa menolak kerana masalah lokasi serta masa. Saya cuba sedaya upaya untuk menghadiri uji bakat. Sayangnya, apabila saya berjaya mendapatkan watak ataupun iklan, ia pasti akan 'clash' dengan jadual kuliah saya," jelas Sari kepada mstar Online.

Lantas, Sari tidak sabar-sabar untuk menghabiskan pengajiannya agar dia dapat menetap di Kuala Lumpur.

"Bukan sahaja saya dapat menyambung ijazah saya di sini tetapi saya berpeluang untuk memberi tumpuan kepada dunia peragaan," kata Sari yang bakal menghadiri kelas peragaan anjuran Andrew's Model, agensi peragaan termashyur di Asia.

Carmen Soo... Idola Sari

Sebagai seorang peragawati, sudah semestinya Sari mempunyai idola.

"Saya amat meminati Carmen Soo," katanya.

Bagi Sari, Carmen merupakan seorang peragawati yang mempunyai ciri-ciri yang unik jika dibandingkan dengan peragawati yang lain di Malaysia.

Secara tidak sengaja, mStar Online turut menyedari bahawa kedua-dua peragawati ini mempunyai wajah yang seakan-akan sama.

Selain daripada itu, Sari turut meminati pelakon,pengacara serta model terkenal, Maya Karin.

"Dia bukan sahaja cantik tetapi berbakat," katanya mengenai pelakon wanita terbaik Pesta Filem Asia Pasifik itu.

Jika diberi peluang, Sari ingin menjadi seorang pengacara seperti Maya Karin.

"Kalau boleh, rancangan yang berunsurkan kecantikan," tambahnya lagi.


Natijahnya, muka baru harus diberikan peluang untuk ditonjolkan dalam bidang pengiklanan dan peragaan. Jika asyik-asyik muka yang sama, ini akan membataskan lagi variasi serta kebolehan peragawati-peragawati yang baru.


mStar Online berharap agar bakat seperti Sari Yanti diberi perhatian serta peluang yang secukupnya agar anak muda sepertinya dapat membawa pembaharuan positif dalam industri ini kelak.
Sudah pastinya, wajah Sari Yanti bakal menggoyahkan lagi dunia peragaan Malaysia!

Source: http://mstar.com.my/

No comments: